Wednesday, February 10, 2010

TIPS DAN INFORMASI TAMBAHAN

PENDAHULUAN
Wanita tidak dapat lari daripada dikaitkan dengan keindahan. Pelbagai cara, bahan dan alatan digunakan untuk mengekalkan keindahan ini. Seluruh anggota badan menjadi tumpuan bagi wanita dalam aspek kecantikkannya bermula dari hujung kaki sehingga ke hujung rambut.
Aspek ini bukan sahaja baru menjadi perhatian tetapi telah bermula sejak di zaman nenek moyang kita lagi. Maka tidak hairanlah pelbagai ramuan dan resepi yang ditinggalkan kepada kita untuk menjadi panduan kepada penyelesaian pelbagai masalah wanita secara tradisi.
Sebagaimana yang kita semua ketahui sejarah awal perubatan nenek moyang kita bermula dengan kepercayaan kepada pelbagai perkara-perkara ghaib dan seterusnya bermulalah era herba dimana mereka mula menggunakan pelbagai jenis tumbuhan yang terdapat di sekitar kita sebagai penawar. Era ini terus berkembang sehinggalah wujudnya bidang kajian ke atas pelbagai tumbuhan dalam pelbagai aspek penggunaannya yang dikenali sebagai etnobotani.
Kebanyakkan masalah ini akan dapat diatasi dengan beberapa kaedah yang boleh diamalkan dan pastinya tidak akan mendatangkan pelbagai kesan sampingan berbanding dengan rawatan dengan menggunakan bahan kimia.
Antara ramuan yang terpenting termasuklah Kunyit Hidup, Madu, Halia, Sirih dan pelbagai jenis daun-daun. Kesemua bahan asli ini diadun membentuk ramuan yang boleh menyembuh masalah. Pelbagai jenis bahan lain juga boleh di dapati dengan mudah di hutan-hutan negara kita disamping tidak perlu mengeluarkan kos yang tinggi berbanding dengan cara perubatan moden. Antaranya Lidi Enau, buah Sengkuang, Asam Jawa, buah Pala ataupun daun Kemangi.
Semoga ia dapat membantu dalam dunia moden kita ini dan Warisan nenek moyang dan alam semulajadi tetap menjadi ingatan dari generasi ke generasi. Insya Allah.


KEFAHAMAN DAN INGATAN
Perkara yang boleh menyebabkan rosaknya ingatan dan kefahaman iaitu sentiasa makan buah yang masam,tidur pada tengkuk (belakang kepala), hati sedih dan fikiran runsing.Perkara yang menyebabkan bertambahnya daya ingatan dan kefahaman iaitu kegembiraan hati, sedikit makan dan sedikit minum, mengawal makanan dengan sesuatu yang manis dan berlemak serta mengurangkan kelebihan yang memberatkan badan.

Maksud firman Allah: Dan sesungguhnya kami jadikan untuk isi neraka jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapitidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunaknnya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunya! i telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagaibinatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.
(Al A'raaf:179)


Kecantikan Melalui Laser

Tahukah anda bahawa teknik laser kini digunakan secara meluas dalam kosmetik dermatologi bagi menyelesaikan pelbagai masalah kulit dan membuang rambut yang tidak diingini selepas beberapa kali rawatan. Lebih menarik, kaedah itu dikatakan selamat. Jika ada pun kesan sampingan, ia sangat kecil dan tidak berbahaya. Selain itu kaedah laser sesuai semua peringkat umur. Namun anda perlu ingat, hanya golongan pakar yang boleh mengendalikan rawatan ini kerana tersilap langkah ia boleh mengundang bahaya.
Pertemuan penulis dengan Pakar Dermatologi, Dr. Allan K.C. Yee dari sebuah klinik swasta menjelaskan tentang kaedah itu. Perkataan LASER berasal daripada singkatan Light Amplification by Stimulated Emission of Radiation. Cahaya laser terhasil daripada 'excited atom' yang mengeluarkan satu sinaran yang mempunyai tenaga yang tinggi.

Cahaya laser juga hanya satu hala berbanding cahaya lampu suluh yang pecah. Kita boleh mendapati penggunaannya begitu meluas seperti pemain cereka padat, 'laser pointers' dan lain-lain lagi. Laser boleh digunakan untuk merawat seluruh tubuh walaupun di kawasan sensitif seperti kawasan mata, mulut, dagu dan leher. Ia boleh merawat kesan penuaan, pigmentasi, parut, tanda lahir, jeragat, tatu dan lain-lain tanpa mengira jenis kulit. Ia juga boleh membuang rambut yang tidak diingini seperti di bawah lengan, betis dan lain-lain melalui IPL (Intense Pulse Light).

Selain itu, rawatan laser juga boleh dilakukan untuk semua peringkat umur termasuklah bayi yang berusia empat minggu yang mengalami 'Portwine stain' iaitu sejenis kecacatan kekal yang berlaku pada kulit wajah khususnya. Ia berwarna kemerahan (setompok) dan bersifat kekal dan dianggarkan berlaku kepada tiga daripada 1,000 orang bayi.

Bagi merawat pelbagai masalah kulit, beberapa alat moden berteknologi tinggi digunakan seperti:
- Cool Touch II & Aramis - Merawat kesan penuaan dengan memperbaiki kolagen seterusnya memperbaiki struktur kulit menjadi lebih tegang. Ia juga merawat parut.
- Medlite Q-Switched Nd: YAG Pigment Laser; Merawat pigmentasi, tanda lahir (1064nm), dan jeragat. Ia menggunakan 532 nm cahaya laser hijau untuk lapisan atas sementara 1064 nm untuk lapisan lebih dalam misalnya pigmen tatu.

Walaupun penggunaannya begitu meluas, namun masih ramai yang tertanya-tanya kesan sampingannya. Malah ada yang berpendapat, kaedah itu berbahaya. Bagaimanapun pendapat tersebut salah kerana laser selamat digunakan dan tidak memberi risiko besar. Lazimnya, kecenderungan meninggalkan kesan parut adalah perkara biasa terutamanya bagi kulit orang Asia. Oleh sebab itu, anda tidak boleh membenarkan pakar kecantikan melakukannya sebaliknya hanya pakar dermatologi yang layak merawatnya.


Rawatan laser hanya boleh dilakukan oleh doktor.
“Hanya pakar dermatologi yang boleh melakukan rawatan ini kerana ia boleh mendatangkan bahaya. Laser bertindak berubah daripada cahaya yang lembut ke cahaya yang kuat. Ia akan membakar kulit seterusnya meninggalkan kesan parut. Selain itu ia juga boleh merosakkan mata jika tidak memakai 'googles'. Ia juga sensitif terhadap alkohol dan boleh menyebabkan kebakaran,” jelas Dr. Allan.

Katanya lagi, ada rawatan yang menyakitkan dan ada yang tidak bergantung kepada jenis masalah kulit dan tenaga laser yang digunakan. Bagaimanapun, krim disapu terlebih dahulu di tempat bermasalah setengah jam sebelum rawatan bagi mengurangkan rasa sakit.

Sebelum menjalani sebarang rawatan, biasanya doktor akan mengenal pasti masalah terlebih dahulu. Pesakit juga dinasihatkan agar jangan banyak terdedah kepada cahaya matahari selepas rawatan bagi mengelakkan sebarang masalah. Bagaimanapun, tidak semua pigmentasi boleh dirawat menggunakan teknik laser misalnya malasma. Menurut Dr. Allan, rawatan laser biasanya tidak mengambil masa yang lama bergantung kepada masalah kulit. Misalnya rawatan tersebut boleh dilakukan ketika anda rehat makan tengah hari.

Bercerita tentang kos, sememangnya tidak dinafikan ia melibatkan kos yang agak tinggi sehingga mencecah ribuan ringgit untuk sekali rawatan. Ini kerana teknologi laser itu sendiri memerlukan kos yang tinggi. Bagaimanapun kos bergantung kepada keluasan kulit yang bermasalah. Semakin besar kawasan yang memerlukan rawatan, maka tinggilah kosnya. Namun bagi masalah kecil, hanya sekali atau dua kali rawatan sudah mencukupi.


Langkah selepas rawatan
- Sapukan krim antibiotik untuk membunuh kuman. Rawatan susulan diperlukan bagi memastikan tidak ada masalah lain yang timbul.
- Rawatan yang kesannya lambat lebih baik berbanding dengan kesan yang cepat.
- Elakkan daripada banyak terdedah di bawah sinaran matahari.
- Pastikan anda mengenakan krim pelindung UV jika keluar rumah.
- Jika masalah tersebut kembali, anda perlu mengulangi rawatan.


Langkah sebelum rawatan
- Kenal pasti masalah kulit. Dapatkan rawatan pakar dermatologi dari klinik yang sah.
- Pastikan anda mendapat nasihat yang betul sebelum membuat rawatan.
- Pastikan bajet mencukupi.
- Pastikan anda memilih rawatan yang memberikan kesan yang lambat kerana ia lebih selamat.


Laser akan:
- Mengakibatkan pemusnahan folikel rambut secara terpilih.
- Memberi keputusan yang memuaskan terhadap masalah kulit atau rambut selepas beberapa kali rawatan.
- Mengakibatkan beberapa kesan sampingan yang tidak memudaratkan seperti bengkak dan pigmen kulit terutamanya bagi mereka yang berkulit gelap.

Laser tidak akan:
- Menyebabkan pemusnahan rambut yang berkekalan selepas satu rawatan. Begitu juga dengan masalah kulit.
- Memberikan keputusan yang sama terhadap semua pesakit kerana setiap sistem laser bertindak secara berlainan mengikut jenis dan masalah kulit pesakit. Amnya, pesakit yang mempunyai rambut hitam dan kulit cerah akan bertindak balas dengan lebih baik.